Wednesday 22 October 2014

RESEPI KEK PISANG MUDAH

Foto: Najihah Abdul Mutalib
Teks: Najihah Abdul Mutalib

Resepi kek pisang yang sangat mudah ni saya dapat daripada group kawan-kawan bekas pelajar sekolah menengah dulu. Tapi saya rasa dah pernah buat kek pisang guna resepi begini yang mana resepinya mungkin saya ambil dari buku resepi. Mudah sahaja resepi ni kerana hanya perlu gunakan 'blender' untuk adunkan semua bahan.

Bahan-bahannya:
1 cawan minyak masak
1 cawan susu pekat
1/2 cawan gula
1 sudu kecil ovalette
1 sudu kecil esen vanila
1 cawan pisang lenyek
5 biji telur
[Masukkan kesemuanya dalam blender dan kisar hingga halus dan sebati]
2 cawan Tepung Naik Sendiri
(Boleh juga gunakan tepung gandum dan ditambah 1 sudu kecil soda bikarbonat)

Untuk hiasan:
1/2 cawan chocolate rice/choc chips
Atau 2 sudu besar serbuk koko
Badam hiris

Cara membuatnya:
1) Kisar semua bahan-bahan yang perlu dikisar sehingga halus
2) Ayak tepung (dan serbuk penaik jika guna tepung gandum)
3) Jika anda menggunakan blender yang tahan lasak, boleh ke masukkan tepung dan kisar bersama bahan-bahan yang sudah sebati tadi
4) Anda juga boleh masukkan bahan kisar tadi ke dalam bekas dan masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kacau/adun hingga sebati.
5) Jika ada bahan untuk hiasan tadi boleh masukkan sama ada choc rice @ choc chip @ serbuk koko dan kacau sebati
6) Sementara itu panaskan periuk kukusan @ oven pada suhu 180-190°C
7) Masukkan adunan ke dalam loyang yang dialas kertas minyak @ disapu mentega. Tabur badam hiris jika suka
8) Boleh dikukus selama 45 minit @ dibakar selama 45-55 minit dengan suhu 180-190°C bergantung pada jenis oven.
9) Siap!
Selamat mencuba!!
Kek Pisang versi bakar
Kek Pisang versi kukus..lagi sedap..

Sunday 19 October 2014

BENGKEL PENULISAN KREATIF ANJURAN DBP SARAWAK

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Selamat bertemu kembali. Alhamdulillah, kelmarin saya sempat mengikuti Bengkel Penulisan Kreatif anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Negeri Sarawak bertempat di Perpustakaan Awam BDA Bintulu. Bengkel yang diadakan selama satu hari ini diadakan sempena Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak, yang mana Bintulu terpilih sebagai tempat penganjurannya.

Lebih 25 orang peserta menyertai bengkel kali ini yang lebih menumpukan kepada penulisan sajak, puisi dan cerpen. Slot pertama berkenaan Penulisan Kreatif di sampaikan oleh Pengarah DBP Negeri Sarawak sendiri iaitu Dr. Hazamin. Beliau byk menerangkan tentang bagaimana tatacara penulisan kreatif. Di akhir slotnya, semua peserta dikehendaki menulis sajak masing-masing sebagai tugasan.
Pada sebelah petang pula bermula jam 2, slot tatabahasa disampaikan oleh Timbalan Pengarah DBP Negeri Sarawak. Slot ini lebih kepada mengingatkan kembali peraturan-peraturan tatabahasa ketika penulisan.

Slot terakhir pula disampaikan oleh dua orang staf DBP Sarawak yang juga aktif menulis sajak dan puisi iaiti saudara Mohd Faizal dan Saifulidzwan. Cara penyampaian yang santai oleh penceramah menyebabkan kami para peserta tidak bosan sepanjang bengkel berlangsung. Kami diberi tugasan untuk menyiapkan 2 buah sajak yang akan diterbitkan dalam sebuah antologi khas sempena bengkel kali ini. Pada akhir bengkel, para peserta menerima sijil penyertaan masing-masing.

Saya berasa amat bertuah kerana menyertai bengkel penulisan ini. Sepanjang bengkel berlangsung, saya telah belajar banyak ilmu tentang penulisan kreatif terutamanya Puisi dan Sajak. Saya berharap dapat menyertai bengkel-bengkel lain yang dianjurkan oleh DBP pada masa akan datang kerana saya mempunyai minat dalam arena penulisan sebegini. Lagi pula apa salahnya menambah ilmu yang dapat membantu tugas dan kerjaya seharian saya.

Sekian dulu coretan saya kali ini. Semoga bertemu lagi.

Pengarah DBP Sarawak sewaktu menyampaikan ceramah
Saudara Mohamad Faizal(MOFA)
Sijil Penyertaan 

Saturday 18 October 2014

RESEPI ROTI SARANG LEBAH DENGAN SOS BUTTERSCOTCH

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Sekarang ni tengah famous Roti Sarang Lebah ni kat fb. Terutamanya di semenanjung sana, saya tengok ramai yang menempah dan kebanyakannya memberitahu roti ni sedap. Sebenarnya saya baru je dengar nama roti ni bila kawan-kawan asyik menyebut-nyebut namanya. Lepas tu cuba la cari-cari kat internet, memang banyak betul resepinya.

Resepi yang saya buat ni kebetulan kawan yang tagkan saya di fb Lydia Honey. Saya memang ikut resepi yang Lydia berikan. Alhamdulillah..pertama kali buat terus menjadi. Untuk satu adunan seperti dalam resepi ni, boleh dapat 1 loyang seperti dalam gambar. Jadi kalau nak buat lebih, boleh tambahkan adunannya ya.

Bahan-Bahannya:

Untuk Bun
2 cawan tepung gandum
1 sudu besar gula pasir
1/2 sudu yis kering (mauripan atau lain-lain)
1/2 sudu baking powder
Secubit garam
1/2 cawan air masak
1/4 cawan plain yogurt
1/4 cawan minyak sun flower (rasanya boleh juga guna minyak masak lain)
Badam hiris, kuaci hijau, bijan hitam utk hiasan atas jika suka
Egg Wash (telur kuning+1-2sd susu cair) - pilihan utk sapu atas doh sblm bakar (ini saya tambah).

Untuk Sos
1/2 cawan gula perang (brown sugar)
25gm mentega/butter
1/2 cawan cream (boleh juga guna susu cair jika tiada)
1 sudu esen vanilla
Secubit garam

Cara-Cara Membuatnya:

Buat Doh Roti
1) Larutkan gula dlm air masak, masukkan yis kacau sehingga larut. Biarkan seketika sehingga yis naik.
2) Satukan bahan-bahan lain seperti tepung, garam, baking soda dalam bekas.
3) Setelah campuran yis naik, masukkan yogurt dan kacau sedikit biar sebati.
4) Masukkan campuran yis dan yogurt tadi ke dalam bekas tepung dan kacau sedikit dengan sudu supaya kurang melekat di tangan.
5) Kemudian masukkan minyak sun flower sedikit demi sedikit sambil menguli dan menyental doh tadi. Adunan memang lembut dan melekat di tangan, tidak mengapa. Tidak perlu tambah tepung. Gunakan minyak untuk elakkan melekat.
6) Uli doh sehingga betul-betul sebati. Lagi lama anda uli, lagi cantik tekstur roti anda nanti.
7) Rehatkan doh dengan cara menutup bekas dengan palstik atau cara mudah masukkan bekas ke dalam oven @ microwave yang tidak di 'ON'.
8) Biarkan doh naik sehingga 2 kali ganda.
9) Jika anda menggunakan Bread Maker, pastikan anda masukkan bahan-bahan cecair (campuran yis+yogurt dan minyak) dahulu, kemudian masukkan bahan-bahan kering (tepung dan lain-lain) dan biarkan BM anda meneruskan tugasnya.
10) Bila doh naik, tumbuk-tumbuk doh supaya anginnya keluar.
11) Dengan menggunakan minyak, bulat-bulatkan doh sebesar buah langsat.
12) Susun dalam loyang yang dah di sapu mentega. Setelah habis taburkan badam hiris, biji kuaci dll. Rehatkan semula doh tadi sehingga naik 2 kali ganda.
13) Sementara itu, panaskan oven selama 10-15 min (api atas bawah) dgn suhu antara 180°-200° selsius.
14) Setelah doh naik, tukarkan menjadi api bwh sahaja dan masukkan doh yang telah naik tadi. Bakar dengan suhu 180-200°c selama 10 min (suhu ikut jenis oven). Kemudian guna api atas sahaja bakar selama lbh krg 5 minit.

Cara membuat sos (elok dibuat sementara menunggu doh naik)
1) Pastikan semua bahan sos tersedia sebab takut nanti sos hangus.
2) Panaskan mentega dalam periuk, setelah cair masukkan brown sugar kacau sehingga gula larut.
3) Masukkan cream/susu cair, esen vanilla dan garam..kacau seketika dan angkat. Biarkan sejuk.
4) Setelah roti masak, tuang sos atas roti ketika roti masih panas-panas.
5) Bagi saya, roti ini sedap di makan waktu roti dah agak sejuk.
Nampak macam panjang dan susah nak membuatnya tapi sebenarnya mudah je. Sesiapa yang dah biasa masak memasak ni mesti akan rasa mudah.

Selamat mencuba!

Friday 17 October 2014

JERUK MANGGA MUDA

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Dua hari lepas saya terpandang kat news feed fb ada kawan post gambar jeruk mangga muda ni. Apa lagi masa tu terus terliur dan bertekad untuk buat sendiri. Rupa-rupanya siap ada yang menjual lagi di fb jeruk mangga ni. Sekali tengok je dah rasa terliur kan?
Mudah je nak sediakan jeruk mangga muda ni. Jadi saya nasihatkan anda buat sendiri je daripada beli tu, puas hati makan buatan sendiri.

Bahan-bahannya:
Mangga muda
Asam boi (saya campur serbuk asam boi juga)
Gula (banyak)
Garam
Cili padi jika suka pedas

Cara Membuatnya:
Potong mangga muda ikut saiz kesukaan anda. Basuh dan toskan airnya sehingga kering. Masukkan mangga tersebut dalam bekas, tambah asam boi, gula, garam dan cili..Gaul rata dan simpan dalam peti sejuk selama 3 hingga 4 jam. Jika nak makan segera pun boleh. Ha..senang je kan? Dah siap.
Selamat mencuba dan jumpa lagi!

Wednesday 8 October 2014

PENGORBANAN SATU KEMESTIAN

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Rasanya tidak terlalu lewat untuk saya ucapkan Selamat Hari Raya Korban buat semua muslimin dan muslimat yang berkunjung ke blog saya ini. Alhamdulillah, tahun ini saya berkesempatan juga untuk menunaikan ibadah korban di kelolaan Jawatankuasa Pusat Islam UPM Kampus Bintulu Sarawak. Saban tahun kami di UPM Kampus Bintulu pasti melaksanakan program ibadah korban dan penyertaan selalunya terbuka kepada staf UPM sendiri.

Ibadah korban di Pusat Sembelihan UPM Kampus Bintulu.
Sebagaimana yang kita semua sedia maklum, ibadah korban yang dituntut supaya kita melakukannya adalah sebagai memperingati kisah pengorbanan agung keluarga Nabi Ismail sebagai seorang bapa, yang dengan ikhlas hati merelakan anak baginda Nabi Ibrahim di korbankan atas perintah Allah. Begitu juga dengan pengorbanan dan ketaatan isteri baginda Siti Hajar yang menurut perintah Allah dan suami.

Pengajaran daripada kisah pengorbanan ini menunjukkan kepada kita bahawa setiap orang di dunia ini perlu berkorban untuk mendapatkan keredhaan Allah. Perlu berkorban untuk mendapat sesuatu yang lebih baik.

Sebagai ibubapa, ada pengorbanan yang perlu dilakukan untuk melahirkan keluarga yang sakinah. Pengorbanan seorang suami diperlukan untuk membahagiakan isteri dan anak-anaknya. Seorang isteri perlu berkorban untuk melihat suami dan anak-anaknya hidup ceria. Juga pengorbanan seorang anak amat diperlukan untuk membahagiakan kedua orang tuanya.

Jika dilihat dari konteks lainnya, semua orang sebenarnya perlu berkorban dalam hidup mereka. Jila mereka mengatakan mereka ingin berjaya, mereka perlu berkorban masa dan tenaga demi mencapai kejaya mereka itu. Jika seorang pelajar bertekad untuk lulus cemerlang dalam peperiksaannya, maka dia perlu berkorban dalam banyak perkara untuk mencapai kejayaannya itu. Mungkin dia kena korbannya masa hujung minggunya untuk lakukan pelbagai tugasan yang diberi..

Jadi, sememangnya pengorbanan itu merupakan satu kemestian dalam hidup seseorang. Jika dia inginkan kehidupan yang lebih baik, maka dia perlu berkorban untuk mencapai keinginannya itu. Dan pengorbanan itu pula perlu dilihat dalam pelbagai aspek supaya segala apa yang kita impikan akan tercapai dengan izin Allah jua.

Akhir kata, Salam AidilAdha dari saya sekeluarga...! Sehingga bertemu lagi..

Bergambar dengan anak-anak usai solat AidilAdha.