Friday 11 September 2015

Resepi Kuah Durian Lemak Manis

Teks: Najihah Abdul Mutalib
Foto: Najihah Abdul Mutalib

Assalamualaikum..

Dah agak lama saya teringin nak buat kuah durian ni..terbayang-bayang kesedapan kuah durian yang mak buat dulu-dulu. Ditambah lagi kalau dapat makan dengan apam serabai atau pulut kukus pun sedap. Rasanya sejak beranak pinak ni tak pernah lagi saya buat kuah durian ni..apam serabai saya dah pernah buat sekali tapi hanya cicah dengan kuah lemak biasa tanpa durian.

Kuah Durian Lemak Manis

Kebetulan ada baki durian yang suami beli hujung minggu lepas. Saya kalau durian dah beberapa hari, tak berapa syok nak makan sebab rasanya dah lain. Jadi saya pun kopek dan ambil isi durian simpan dalam bekas dan masukkan dalam peti. Esoknya baru saya buat kuah durian ni. Mulanya saya kukus pulut dan kami sekeluarga makan pulut dengan kuah durian. Dan baki kuah saya simpan dalam peti sejuk dan esoknya lagi saya buat apam serabai pula. Alhamdulillah..tercapai juga hasrat nak makan kuah durian ni. Jom saya kongsikan resepinya..

Kuah Durian & Apam Serabai


Resepi Kuah Durian Lemak Manis.

Bahan-bahannya:

4-5 ulas durian. (saya letak agak banyak sebab nak habiskan)
1 ketul Gula Melaka
1-2 sudu gula pasir (jika kurang manis)
3 cawan air
1 kotak santan segera (1/2 cwn santan segar)
1 sudu kecil garam halus
4 sudu makan tepung gandum
1 helai daun pandan

Cara Membuatnya:

1) Masukkan air, garam, isi durian dan gula melaka dalam periuk dan masak sehingga gula hancur.

2) Kemudian masukkan santan dan daun pandan, kacau seketika.

3) Bancuh tepung gandum dengan sedikit air dan masukkan adunan tepung itu ke dalam periuk tadi.

4) Jika kurang manis, tambahkan gula pasir dan kacau lagi.

5) Bila dah mendidih, tutup api dan sedia untuk dihidangkan. 

Kuah Durian & Pulut

Selain dimakan dengan pulut dan apam serabai, kuah durian ini juga boleh di makan dengan roti atau apa-apa sahaja yang anda suka. Kalau nak simpan, hanya masukkan ke dalam bekas bertutup dan simpan dalam peti sejuk. Waktu nak makan, keluarkan daripada peti sejuk dan panaskan sebelum dihidang. Sesiapa peminat durian, bolehlah cuba resepi ini. 

Selamat mencuba dan jumpa lagi!