Thursday 21 July 2016

Galakan Berusaha dan Berikhtiar Dalam Islam

Assalamualaikum wrt. wbt.


Ada segelintir manusia yang sering mengeluh dan menyalahkan takdir apabila ditimpa sesuatu musibah atau ujian dalam hidup mereka. Manusia sebegini sering menyalahkan orang lain walaupun hakikatnya diri mereka sendiri tiada inisiatif, usaha atau ikhtiar untuk memperbaiki keadaan. Contohnya jika mereka ditimpa kemiskinan, tiada usaha yang mereka lakukan untuk mengatasi kemiskinan tersebut. Mereka lebih suka merintih dan menyalahkan takdir kenapa mereka dilahirkan demikian. Manusia sebegini lebih suka meminta-minta daripada orang lain, bahkan ada juga yang hanya duduk menunggu bantuan tiba.

sumber: carian google

Begitu juga keadaannya jika seseorang itu diberi ujian oleh Allah dengan penyakit yang sukar untuk sembuh seperti kanser, SLE, leukemia dan seumpamannya. Bagi mereka yang tiada semangat, mereka mungkin hanya duduk terbaring dan merintih dengan keadaan yang mereka alami. Hanya menunggu dan terus menunggu takdir dan berdoa memohon kesembuhan daripada Allah, tanpa sebarang usaha untuk berubat kerana kononnya penyakit ini tiada ubatnya. Tak perlu bersusah payah kerana akhirnya akan ‘sampai ajal’ juga.

Konsep dan fahaman sebegini adalah salah sebenarnya di sisi Islam. Pepatah Arab ada menyebut “man jadda wa jada” yang bermaksud sesiapa yang bersungguh-sungguh (yakni berusaha) pasti akan dapat. Dalam satu hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “..ikatlah untamu, kemudian bertawakkallah..”. “Ikatlah untamu” dalam hadis ini membawa maksud bahawa kita mestilah berusaha atau melakukan sesuatu sebelum bertawakkal atau menyerah kepada Allah.


Dalam al-Quran, ada merakamkan kisah tentang Nabi Ayyub yang diuji oleh Allah dengan penyakit kronik yang terlalu lama sehingga menjangkau 100 tahun. Menurut kitab Durratun Nasihin menceritakan bagaimana Nabi Ayyub adalah seorang kaya yang pemurah, dikurniakan rezeki dan zuriat yang ramai. Dalam masa yang sama baginda sentiasa mensyukuri nikmat Allah. Namun, Allah telah menguji kesabaran Nabi Ayyub apabila hartanya habis dibakar oleh iblis, kemudian baginda menderita pula penyakit kronik sehingga masyarakat sekeliling termasuk isteri dan ahli keluarga baginda sendiri menjauhi dan meninggalkannya. Nabi Ayyub berusaha mengubati penyakitnya dengan pelbagai ikhtiar namun masih tiada bertemu penawarnya.

Salinan buku HT3S

Sehinggalah pada suatu hari baginda berdoa: “Ya Tuhanku, sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani..”, surah al-Anbiya ayat 83. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar rintihan hambaNya. Allah memakbulkan permintaan Nabi Ayyub dan tidak membiarkan nabi-Nya menderita lagi. Allah memerintahkan Nabi Ayyub supaya menghentakkan kaki ke tanah lalu keluarlah air yang sejuk dan dingin sebagai penawar kepada penyakit yang baginda alami. Kisah ini ada dirakamkan dalam surah al-Anbiya ayat 84. Dengan izin Allah, penyakit Nabi Ayyub telah pulih bahkan baginda dilimpahkan rezeki yang berlipat ganda, ahli keluarga dan masyarakat turut kembali kepada baginda.

Daripada kisah Nabi Ayyub ni, menyaksikan kepada kita bagaimana seorang nabi pun turut melakukan usaha dan ikhtiar untuk menyembuhkan penyakit dengan pelbagai cara walaupun pada hakikatnya, baginda boleh saja duduk berdoa sepanjang masa memohon bantuan daripada Allah. Dan analogi daripada perintah Allah yang meminta baginda menghentak kaki ke tanah adalah satu usaha juga untuk mencari penawar kepada penyakit yang baginda alami.

Namun begitu, harus saya tekankan di sini bahawa sebagai umat Islam kita hendaklah bergantung kepada Allah 100% tanpa ada rasa ragu-ragu. Mohon dan berdoalah kepada Allah secara berterusan dan istiqamah sama ada pada waktu senang mahupun susah. Hadis riwayat Hakim ada menyebut: “Ingatlah Allah di waktu senangmu, maka Allah akan mengingatimu ketika susah..” Jangan pula kita terus melupakan peranan Allah sebagai Yang Maha Menyembuhkan tatkala ditimpa kesakitan, tanpa memohon secebis doa pun daripada-Nya. Sehinggalah saat kritikal baru kita nak mengingati Allah seolah-olah kita membelakangi kekuasaan-Nya. Sewajarnya, memohon, berdoa dan ingatlah Allah terlebih dahulu sebelum kita melakukan sebarang usaha dan ikhtiar dan setelah itu berdoalah lagi dan lagi sehingga akhirnya kita berserah dan bertawakkal kepada Allah Azza Wa Jalla.

Untuk dapatkan buku ini, boleh hubungi akak 013.4517098


Kesimpulannya, sebagai umat Islam beberapa perkara berikut perlu kita amalkan dalam kehidupan kita tatkala ditimpa ujian mahupun musibah:

1)    Meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada Allah.
2)    Sentiasa mengingati Allah dan berdoa kepadaNya SEBELUM dan SESUDAH berusaha atau berikhtiar.
3)    Sentiasa SABAR dan REDHA dengan ketentuan Allah.
4)    Melakukan USAHA dan IKHTIAR dengan YAKIN, JUJUR dan IKHLAS.
5)    Sentiasa BERSYUKUR atas apa sahaja hasil atau keputusan yang diperoleh.
6)    Sentiasa MUHASABAH diri sendiri, tanpa menyalahkan orang lain, menyalahkan takdir atau bersangka buruk dengan Allah dan manusia lainnya.


Wallahua’lam bissawab.

Ditulis Oleh:

Dr. Najihah binti Abdul Mutalib
Pensyarah Kanan
Jabatan Kenegaraan dan Peradaban
Pusat Pendidikan Asas dan Liberal
Universiti Malaysia Terengganu.

Nota kaki: Artikel ini telah disiarkan dalam buku Himpunan Testimoni Supermom Shaklee Story yang diusahakan oleh Group Shaklee Supermom.